December 07, 2008

hikmah ibadat korban

Hari Raya Aidildha merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam. Dalil disyariatkan Aidiladha adalah sebagaimana dikhabarkan oleh Anas bin Malik .a, dia berkata: Nabi s.a.w. pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua Hari Raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliyyah, maka baginda bersabda: Maksudnya: “Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Dan sesungguhnya ALLAH telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.

HIKMAH MENGERJAKAN IBADAT KORBAN

Dan KAMI jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama ALLAH untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama ALLAH (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah KAMI mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada ALLAH, tetapi yang sampai kepada-NYA ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah DIA memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat nikmat petunjuk-NYA. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. – (Surah al-Hajj (22): 36-37)

Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa keutamaan ibadat korban seperti berikut:

1 - Ibadat korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyrakat dengan mempereratkan hubungan kasih sayang diantara golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan seumpamanya dan dengan golongan yang bernasib baik yang dianugerahkan oleh ALLAH S.W.T. dengan kekayaan dan kelapangan hidup melalui pengagihan daging-daging korban tersebut.
2 - Ibadat korban juga berupaya membentuk insan yang bersyukur dengan rezeki yang ALLAH kurniakan kepadanya melalui penyembelihan haiwan korban yang dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam rangka beribadat dan mendekatkan diri kepada ALLAH S.W.T..
3 - Ibadat korban juga dapat membentuk jiwa yang ikhlas kerana sejumlah wang ringgit telah dibelanjakan hanya demi untuk mendapat keredhaan ALLAH S.W.T..
4 - Ianya juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada ALLAH S.W.T. kerana menurut perintahnya.
5 - Ibadat korban merupakan amalan yang mulia dan sesiapa yang menunaikan ibadat tersebut bakal menerima khabar gembira daripada ALLAH S.W.T. iaitu balasan serta ganjaran yang baik daripada-NYA.

No comments: